Archive for the ‘Kisah Inspirasi’ category

Kisah Ikan dan Air

March 2, 2010

Dedikasikan kisah ini untuk seluruh warga ASA Explore (fasilitator) dan juga semua pendidik, adik-adik yang sentiasa di hati!

Suatu hari seorang ayah dan anaknya sedang duduk berbincang-bincang di tepi sungai. Kata Ayah kepada anaknya, “Lihatlah anakku, air begitu penting dalam kehidupan ini, tanpa air kita semua akan mati.” Pada ketika itu juga, seekor ikan kecil muncul dari bawah permukaan air dan ingin mengetahui dimanakah air yang dikatakan oleh si bapa tadi.

Ikan kecil itu berenang dari hulu sampai ke hilir sungai sambil bertanya kepada setiap ikan yang ditemuinya, “Hai, tahukah kamu dimana air? Aku telah mendengar percakapan manusia bahawa tanpa air kehidupan akan mati”. Kesemua ikan tersebut tidak mengetahui di mana air itu, si ikan kecil semakin gelisah, lalu ia berenang menuju mata air untuk bertemu dengan ikan sepat yang sudah berpengalaman, kepada ikan sepat itu ikan kecil ini menanyakan hal tersebut, “Di manakah air?”, jawab ikan sepat, “Tak usah gelisah anakku, air itu telah mengelilingimu, sehingga kamu tidak menyedari kehadirannya. Memang benar, tanpa air kita akan mati”. Apa erti cerita tersebut bagi kita. Manusia kadang-kadang mengalami situasi seperti si ikan kecil, mencari ke sana ke mari tentang kehidupan dan kebahagiaan, padahal ia sedang menjalaninya, bahkan kebahagiaan sedang melingkupinya sehingga dia tidak menyedarinya. Kehidupan dan kebahagiaan ada di sekeliling kita dan sedang kita jalani, selagi kita mahu menghayatinya.

Walau apapun masalah yang datang melanda, walau besar ujian yang kita tempuhi, walau berat untuk kita hadapi, walau sukar untuk kita jalani, maka hadapi la semuanya dengan ketenangan dan kebahagian. Kerana hidup ini sentiasa ada manisnya, kadang-kadang pahit, selalunya suka, tiba-tiba menjadi duka. Oleh itu, hadapilah semuanya dengan senyuman! Moga tabah hadapi segala dugaan, rintangan dan cabaran untuk manjadi ‘Logam yang berharga”. -brother sham

Advertisements

7 Keajaiban Dunia

September 28, 2007

pyramid.jpg

7 Keajaiban Dunia

Sekelompok siswa-siswi kelas geografi sedang mempelajari “Tujuh Keajaiban Dunia.” Pada awal pelajaran, mereka diminta untuk membuat senarai apa yang mereka fikir merupakan “Tujuh Keajaiban Dunia” ketika ini. Walaupun ada beberapa ketidak-sesuaian, sebahagian besar senarai diperolehi:

1) Piramid
2) Taj Mahal
3) Tembok Besar Cina
4) Menara Pisa
5) Kuil Angkor
6) Menara Eiffel
7) Kuil Parthenon

Ketika mengumpulkan senarai pilihan, pensyarah memperhatikan seorang pelajar,
seorang gadis yang pendiam, yang belum mengumpulkan kertas kerjanya. Jadi,
pensyarah bertanya kepadanya apakah dia mempunyai kesukaran membuat senarainya.

Gadis pendiam itu menjawab, “Ya, sedikit. Saya tidak dapat memilih kerana sangat
banyak.” Pensyarah berkata, “Baik, katakan pada kami apa yang kamu miliki, dan
mungkin kami dapat membantu memilihnya.” Gadis itu ragu sejenak, kemudian
membaca,

“Saya fikir, “Tujuh Keajaiban Dunia” adalah,
1) Dapat melihat,
2) Dapat mendengar,
3) Dapat menyentuh,
4) Dapat menyayangi,
Dia ragu sebentar, dan kemudian melanjutkan,
5) Dapat merasakan,
6) Dapat tertawa,
7) Dan, Dapat mencintai

Ruang kuliah tersebut sunyi seketika. Alangkah mudahnya bagi kita untuk melihat pada eksploitasi manusia dan menyebutnya “keajaiban”. Sementara kita lihat semua yang telah Tuhan kurniakan untuk kita, kita menyebutnya sebagai “biasa”. Semoga anda hari ini diingatkan tentang segalanya yang betul-betul ajaib dalam kehidupan anda.

Kotak Berisi Kasih

July 30, 2007

heart.jpg

Satu hari ketika seorang ayah membeli beberapa gulung kertas bungkusan hadiah, anak perempuannya yang masih kecil dan manja sekali, meminta satu gulung.

“Untuk apa?” tanya si ayah.
“Nak bungkus hadiah” jawab si kecil.
“Jangan dibuang-buang ya.” pesan si ayah, sambil memberikan satu gulungan kecil.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi si kecil sudah bangun dan membangunkan ayahnya, “Yah, Ayah…….. ada hadiah untuk Ayah.”
Si ayah yang masih menggeliat, matanya pun belum lagi terbuka sepenuhnya menjawab, “Sudahlah…. nanti nanti saja.”
Tetapi si kecil pantang menyerah, “Ayah, Ayah, bangun Ayah, dah pagi.”
“Eh… kenapa ganggu ayah… masih terlalu awal lagi untuk ayah bangun.”

Ayah terpandang sebuah bungkusan yang telah dibalut dengan kertas pembungkus yang diberikan semalam.

“Hadiah apa ni?”
“Hadiah hari jadi untuk Ayah. Bukalah Yah, buka sekarang.” Dan si ayah pun membuka bungkusan itu.
Ternyata di dalamnya hanya sebuah kotak kosong. Tidak berisi apa pun juga.
“Eh.. kenapa kosong?? Tak ada isi di dalamnya. Kan Ayah dah kata jangan buang-buang kertas bungkusan Ayah. Membazir tu”
Si kecil menjawab, “Tak Ayah….., ada isi tu… Tadi kan, Puteri masukkan banyak sekali ciuman untuk Ayah.”
Si ayah merasa terharu, dia mengangkat anaknya. Dipeluk dan diciumnya.
“Puteri, Ayah belum pernah menerima hadiah seindah ini. Ayah akan selalu menyimpan hadiah ini.
Ayah akan bawa ke pejabat dan sekali-sekala kalau perlu ciuman Puteri, Ayah akan mengambil satu. Nanti kalau kosong boleh isi lagi kan!”

Kotak kosong yang sesaat sebelumnya dianggap tidak berisi, tidak memiliki nilai apa-apa pun, tiba-tiba terisi, tiba-tiba memiliki nilai yang begitu tinggi. Apa yang terjadi?Lalu, walaupun kotak itu memiliki nilai yang sangat tinggi di mata si ayah, namun di mata orang lain tetap juga tidak memiliki nilai apa pun. Orang lain akan tetap menganggapnya sebuah kotak kosong.

Kosong bagi seseorang boleh dianggap penuh oleh orang lain. Sebaliknya, penuh bagi seseorang boleh dianggap kosong oleh orang lain. KOSONG dan PENUH – kedua-duanya merupakan produk dari “fikiran” anda sendiri. Sebagaimana anda memandangi hidup demikianlah kehidupan anda. Hidup menjadi bererti, bermakna, kerana anda memberikan erti kepadanya, memberikan makna kepadanya. Bagi mereka yang tidak memberikan makna, tidak memberikan erti, hidup ini ibarat lembaran kertas yang kosong….

edited by : brother sham

Batu Kecil

June 10, 2007

Seorang pekerja binaan yang bekerja di dalam membina bangunan telah naik  ke tingkat paling atas  bangunan yang sedang dibina itu. Tiba-tiba, ia teringat untuk menyampaikan pesanan penting kepada rakan sekerjanya yang sedang berada di tingkat paling bawah. Pekerja itu berteriak memanggil rakannya yang berada di tingkat bawah, tetapi rakannya itu tidak mendengar jeritannya kerana keadaan di sekitar bangunan itu terlalu bising dengan bunyi mesin dan jentera berat keluar masuk dari tapak projek tersebut, ditambah lagi dengan suara-suara orang yang sedang bekerja. Usahanya itu sia-sia sahaja.

Kemudian, ia mendapat idea untuk menarik perhatian rakannya yang berada di bawah, lalu ia pun cuba melemparkan duit syiling ke arah rakannya itu. Rakannya itu berhenti bekerja, lalu mengambil duit syiling itu dan terus  melakukan kerja-kerjanya kembali. Pekerja itu cuba lagi untuk kali yang kedua, tetapi usahanya yang kedua itu pun mendatangkan hasil yang sama. Tiba-tiba ia mendapat idea yang baru. Pekerja itu mengambil batu kecil lalu melemparkannya ke arah rakannya itu. Batu itu tepat mengenai kepala rakannya, dan kerana merasa sakit, rakannnya itu menoleh ke atas? Kemudian barulan pekerja itu dapat menjatuhkan catatan yang berisi pesanannya.

Renungan: Allah S.W.T kadang-kadang menggunakan cubaa-cubaan yang ringan untuk membuatkan kita “menoleh” kepadaNya. Seringkali Allah S.W.T melimpahi kita dengan rahmat dan nikmat-nikmatNya, tetapi itu tidak cukup untuk membuatkan kita “menoleh” kepadaNya. Kerana itu, Allah S.W.T sering menjatuhkan “batu kecil” kepada kita agar kita sentiasa mengingatiNya.

Rumah 1000 Cermin

May 24, 2007

rumah.jpg

 Di sebuah desa kecil, terdapat sebuah rumah yang dikenali dengan nama “Rumah Seribu Cermin.” Suatu hari seekor anjing kecil sedang berjalan-jalan di desa itu dan melintasi “Rumah Seribu Cermin”. Ia tertarik melihat rumah itu dan
memutuskan untuk masuk melihat-lihat apa yang ada di dalamnya.

Sambil melompat-lompat gembira ia menaiki tangga rumah dan masuk melalui pintu depan. Telinganya terangkat tinggi-tinggi, ekornya bergerak-gerak secepat mungkin. Betapa terkejutnya ia ketika masuk ke dalam rumah tersebut, ia melihat ada seribu wajah ceria anjing-anjing kecil dengan ekor yang bergerak-gerak cepat. Ia tersenyum lebar, dan seribu wajah anjing kecil itu juga membalas dengan senyum lebar, kelihatan bersahabat. Ketika ia meninggalkan rumah itu, ia berkata pada dirinya sendiri, “Tempat ini sangat menyenangkan aku. Suatu ketika aku akan kembali untuk sentiasa mengunjunginya.”

Beberapa ketika setelah anjing itu pergi, datanglah anjing kecil yang lain. Namun, anjing yang satu ini tidak seceria anjing yang sebelumnya. Ia juga memasuki rumah itu. Dengan perlahan ia menaiki tangga rumah dan masuk melalui pintu. Ketika berada di dalam, ia terkejut melihat ada seribu wajah anjing kecil yang muram dan tidak bersahabat. Segera saja ia menyalak sekeras-kerasnya dan dibalas juga dengan seribu salakan yang menyeramkan. Ia merasa takut dan keluar dari rumah sambil berkata pada dirinya sendiri, “Tempat ini sungguh menakutkan, aku tak ingin untuk kembali ke sini lagi.”

Seringkali gambaran atau kesan tentang wajah yang ada di dunia ini, yang kita lihat.. adalah cerminan gambaran dan kesan dari wajah kita sendiri. Jika kita berasa gembira, maka dunia ini akan tampak sentiasa gembira… Jika dunia ini terasa suram, mungkin itu kerana kesan yang kita berikan…Ini bukan masalah untuk menjadi anjing, tetapi masalah adalah untuk kita menjadi diri kita sendiri dan hadapi kehidupan ini dengan senyuman!

Hati Yang Syukur

May 9, 2007

heart.jpg

Ketika seorang pengarah syarikat memasuki keretanya, ia bertanya kepada pemandu kereta mewahnya, “Bagaimana keadaan cuaca hari ini?”. Pemandu itu menjawab, “Cuaca hari ini adalah cuaca yang saya suka”.

Merasa hairan dengan jawapan tersebut, pengarah itu bertanya lagi, “Bagaimana kamu begitu yakin?”. Pemandu itu menjawab dengan sopan, “Begini tuan, saya sudah belajar bahawa saya tidak akan mendapat apa yang saya sukai, kerana itulah saya selalu menyukai apapun yang saya akan dapat”.

Jawapan ringkas yang keluar daripada mulut pemandu itu merupakan satu ekspresi perasaan syukur. Syukur merupakan kualiti hati yang terpenting. Dengan bersyukur kita sentiasa akan diliputi rasa damai, tenteram dan bahagia. Sebaliknya, perasaan yang tidak bersyukur akan sentiasa membebankan kita. Kita akan selalu merasa kekurangan dan tidak bahagia. Ada dua perkara yang sering membuatkan kita tidak bersyukur.

Pertama, kita sering menfokuskan pada diri apa yang kita inginkan, bukan pada apa yang kita miliki. Katakanlah, anda sudah memiliki sebuah rumah, kenderaan, pekerjaan tetap dan pasangan yang baik. Tetapi anda masih lagi merasa kekurangan.

Fikiran anda dipenuhi berbagai keinginan. Anda begitu terpesona dengan rumah yang besar dan indah, kereta mewah, pekerjaan yang mendatangkan lebih banyak wang. Kita inginkan itu dan ini. Bila kita tidak mendapat apa yang kita inginkan, kita akan terus memikirkannya. Tetapi anehnya, walaupun sudah mendapatkannya, kita hanya menikmatinya sesaat sahaja. Kita tetap tidak berasa puas, kita ingin yang lebih lagi. Jadi betapa banyak pun harta yang kita miliki, kita tidak pernah menjadi “kaya” dengan ertikata yang sebenarnya.

Mari kita betulkan pengertian kita mengenai orang “kaya”. Orang yang “kaya” bukanlah orang yang memiliki banyak perkara, tetapi orang yang dapat menikmati apapun yang mereka miliki. Kita boleh sahaja mempunyai keinginan, tetapi kita perlu sedar bahawa inilah penyebab yang menjadi perasaan tidak tenteram. Kita dapat mengubah perasaan ini dengan menfokuskan apa yang sudah kita miliki. Cubalah lihat keadaan di sekeliling anda, fikirkan yang anda miliki dan syukurilah. Anda akan merasakan nikmatnya hidup ini.

Perkara kedua yang sering membuatkan kita tidak bersyukur adalah adanya kecenderungan membanding-bandingkan diri kita dengan orang lain. Kita merasa orang lain lebih beruntung. Kemanapun kita pergi, sentiasa ada orang yang lebih pandai lebih tampan, lebih cantik dan lebih kaya dari kita.

Rumput jiran tetangga memang sering kelihatan lebih hijau dari rumput di pekarangan rumah kita sendiri.Hidup akan lebih bahagia jika kita dapat menikmati apa yang kita miliki. Kerana syukur itu merupakan kualiti hati yang paling tinggi.

Kisah Kepompong

April 23, 2007

kepompong.jpg

Ketika kecil saya mempunyai seorang rakan yang bertemu dengan satu kepompong seekor kupu-kupu. Pada suatu ketika, kepompong itu terbuka sedikit dan menampakkan lubang kecil. Ini menunjukkan anak-anak kupu-kupu itu ingin keluar daripada kepompongnya. Dia duduk dan mengamati dalam beberapa waktu kepompong itu ketika anak kupu-kupu itu berjuang dengan memaksa dirinya untuk keluar dari lubang kecil itu. Kemudian kupu-kupu itu berhenti dari perbuatannya. Kelihatan anak kupu-kupu itu telah berusaha semampu yang mungkin dan dia mungkin dia tidak boleh keluar dari kepompongnya itu, fikir rakan saya.

Akhirnya rakan saya tersebut memutuskan untuk membantunya, dan dia mengambil sebuah gunting dan memotong sisa kekangan dari kepompong itu. Kupu-kupu tersebut keluar dengan mudahnya. Namun, anak kupu-kupu itu mempunyai tubuh yang pendek dan kecil, sayap-sayap yang bersimpul-simpul. Rakan saya tersebut terus mengamatinya kerana dia berharap bahawa, pada suatu ketika nanti, sayap-sayap itu akan berkembang lebar dan melebar sehingga mampu menampung tubuhnya, yang mungkin akan berkembang dalam beberapa waktu lagi, fikir rakan saya. Namun, semuanya tidak terjadi seperti yang diharapkan.

Apa yang berlaku selepas itu? Anak kupu-kupu itu menghabiskan sisa hidupnya merangkak di sekitarnya dengan tubuh yang pendek dan sayap-sayap yang bersimpul-simpul. Anak kupu-kupu itu tidak mampu dan tidak boleh terbang.

Apa yang perlu saya nyatakan di sini, bahawa bantuan yang diberikan rakan saya kepada anak kupu-kupu itu untuk keluar dari kepompongnya sendiri, adalah satu bantuan yang sia-sia malah menyusahkan anak kupu-kupu itu sendiri. Kebaikan dan ketergesaan rakan saya itu adalah suatu kerja yang sia-sia dan menghalang kebebasan anak kupu-kupu itu untuk terbang rendah di langit tinggi.

Harus diketahui dan fahami bahawa kepompong yang menghambat dan perjuangan yang diperlukan anak kupu-kupu itu untuk keluar dari lubang kecil adalah kerja dan ketentuan Allah Yang Maha Kuasa untuk memaksa cairan keluar dari tubuh anak kupu-kupu itu dan meresap ke dalam sayap-sayapnya, sehinggalah dia keluar dan akan terus terbang sendiri. Dengan itulah dia memperolehi kebebasan dari kepompong tersebut.

Kadang-kadang perjuangan dan kesukaran adalah yang sesuatu yang kita perlukan dalam hidup kita. Jika Allah membiarkan kita hidup tanpa ujian dan hambatan, mungkin ia boleh melumpuhkan kita. Kita mungkin menjadi seorang yang tidak kuat sebagaimana sepatutnya berdasarkan kemampuan kita. Kita mungkin tidak akan pernah dan dapat ‘terbang’!!